Tragedi LRT - Hak OKU Tercabar
Tuan/Puan yang dihormati,
Minggu lepas, Sabtu 22/02/2025, komuniti OKU tersentak dengan berita kematian seorang cacat penglihatan akibat digilis train LRT di hentian Titiwangsa Kuala Lumpur. Saya selaku Pengerusi Kluster OKU MAKPEM bersama lain-lain pertubuhan OKU dan persatuan-persatuan membela kepentingan OKU, semua merasa kesal atas kemalangan tersebut. Komuniti OKU penglihatan menanggung dendam perasaan yang berbaur: sedih atas kehilangan rakan dan kawan lama, kecewa dengan sistem keselamatan dan kemudahan infrastruktur penyedia perkhidmatan pengangkutan awam negara kita, terkilan dengan kadar tanggungjawab petugas-petugas di stesen tersebut, resah dengan sikap kurang prihatin pengguna lain di situ terhadap pengguna buta yang bergerak sendirian dan juga, khuatir dengan keselamatan kami OKU yang mengguna kemudahan pengangkutan awam setiap hari untuk ke tempat kerja atau urusan-urusan lain.
Minggu lepas, Sabtu 22/02/2025, komuniti OKU tersentak dengan berita kematian seorang cacat penglihatan akibat digilis train LRT di hentian Titiwangsa Kuala Lumpur. Saya selaku Pengerusi Kluster OKU MAKPEM bersama lain-lain pertubuhan OKU dan persatuan-persatuan membela kepentingan OKU, semua merasa kesal atas kemalangan tersebut. Komuniti OKU penglihatan menanggung dendam perasaan yang berbaur: sedih atas kehilangan rakan dan kawan lama, kecewa dengan sistem keselamatan dan kemudahan infrastruktur penyedia perkhidmatan pengangkutan awam negara kita, terkilan dengan kadar tanggungjawab petugas-petugas di stesen tersebut, resah dengan sikap kurang prihatin pengguna lain di situ terhadap pengguna buta yang bergerak sendirian dan juga, khuatir dengan keselamatan kami OKU yang mengguna kemudahan pengangkutan awam setiap hari untuk ke tempat kerja atau urusan-urusan lain.
Saya difahamkan mendiang Wong, lelaki buta 71 tahun, bergerak sendirian menggunakan tongkat putih, pukul 8 pagi hendak menaiki LRT di stesen Titiwangsa untuk ke tempat kerja, terjatuh dari platform lalu digilis train yang sedang masuk stesen. Media melaporkan keputusan siasatan awal ialah mati mengejut. Saya lebih cenderung menyatakan ianya suatu kemalangan yang boleh dielakkan sekiranya pihak-pihak berkaitan menyempurnakan tanggungjawab masing-masing.
BANYAK PERSOALAN YANG MEMERLUKAN JAWAPAN.
Aneh sekali, tragedi ini berlaku tatkala Akta OKU telah berkuatkuasa 17 tahun dan Malaysia telah meratifikasi United Nation Convention On The Rights Of Persons With Disabilities sejak 15 tahun dahulu. Kedua-dua perundangan ini bukan sahaja telah menetapkan peruntukan substantive bagi melindungi hak OKU, malah menggesa semua pihak: agensi kerajaan, pertubuhan kebajikan, badan korporat mahupun orang awam, untuk melaksanakan tanggungjawab bagi memelihara kesejahteraan OKU. Seksyen 27 Akta OKU Malaysia memperuntukkan bahawa,
"Orang Kurang Upaya hendaklah mempunyai hak untuk akses kepada dan menggunakan kemudahan, amenity dan perkhidmatan pengangkutan awam yang dibuka atau disediakan kepada orang ramai atas asas kesetaraan dengan orang upaya.”
Kemalangan ini bukanlah yang pertama kali dan tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil. Dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini, tidak kurang dari lima insiden yang melibatkan OKU terjatuh dari platform LRT / Monorail. Yang terkini, pada 11/01/2025, seorang wanita cacat penglihatan jatuh dari platform menunggu di Stesen LRT Taman Melati, mengakibatkan cedera parah di kaki yang memerlukan balutan simen, kecederaan serius pada siku dan lengan, dan beberapa kecederaan lain.
Tidakkah lagi pengurusan Prasarana Malaysia Berhad dan Kementerian Pengangkutan Malaysia mengambil iktibar dari 7 tragedi kemalangan OKU itu? Mahukah ditunggu satu lagi kematian? LRT telah beroperasi bukan setahun dua tetapi 30 tahun! Akta OKU S. 27 (2) meletakkan kewajipan undang-undang ke atas kerajaan dan penyedia kemudahan pengangkutan awam untuk,
“mengambil langkah yang perlu untuk memastikan bahawa kemudahan, ameniti dan perkhidmatan pengangkutan itu menepati reka bentuk sejagat bagi memudahkan akses kepada dan penggunaan oleh OKU.”
Antara langkah yang perlu diambil termasuklah:
- Menyediakan lokasi yang sesuai dan selamat untuk OKU menunggu, menaiki dan menuruni train.
- Membina laluan tactile yang sempurna dan tanpa halangan, di tempat-tempat yang perlu.
- Memasang pandu arah (signage) yang terang bagi penumpang rabun dan bertulisan Braille / audio bagi penumpang buta.
- Melatih pegawai-pegawai front liners memahami kaedah betul dan senantiasa bermotivasi tinggi menyantuni penumpang OKU.
- Mempromosi kesedaran penumpang-penumpang lain terhadap kehadiran dan keperluan penumpang OKU.
- Mengedarkan risalah format Braille bagi OKU penglihatan mengetahui jenis-jenis kemudahan yang ada di stesen serta langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil.
Sekiranya langkah-langkah tersebut tidak dilaksanakan, pihak kerajaan dan penyedia perkhidmatan awam (tidak terhad kepada LRT sahaja) boleh disabitkan atas kecuaian dan turut bertanggungjawab bagi kecederaan atau kematian pengguna OKU itu. Rujuk Akta OKU S. 15. Juga, rules on negligence.
Satu landmark case, Haley vs London Electricity Board, di mana seorang buta melalui suatu jalan, jatuh dalam lubang, mengalami kecederaan dan membuat tuntutan. Mahkamah memutuskan Lembaga Letrik yang menggali lubang itu adalah salah dan bertanggungan atas kecuaian. Hujah peguam Lembaga Letrik bahawa sekatan telah didirikan bagi keselamatan orang ramai dan mereka tidak menyangka ada orang buta akan melalui jalan itu, telah ditolak oleh mahkamah yang mendapati sekatan itu tidak cukup bagi menjaga keselamatan pengguna yang buta.
Boleh turut dipersoalkan ialah fungsi Wakil Rakyat dan pertubuhan-pertubuhan kebajikan terhadap kesejahteraan rakyat kurang upaya. Ruj. Akta OKU S. 16.
Si mati dalam kes ini merupakan OKU warga emas yang sedang menuju ke tempat kerja. Isu relevan ialah keberkesanan perkhidmatan sokongan terhadap warga emas kurang upaya. Juga, tanggungjawab PERKESO membela pencarumnya. Dan mungkin juga melibatkan NIOSH, National Institute For Occupational Safety and Health.
Akhir kata, harapan kita semua agar tragedi serupa tidak berulang. It can happen to you, to me, and in fact, to anybody.
*** ***
Anda yang mempunyai pengalaman dengan sistem perkhidmatan awam, please share here your experience and opinion, demi manfaat kita bersama. Wassalam.
Penulis:
Dato' Haji Mah Hassan bin Haji Omar
Pengerusi
KL Braille Resources
(Pengamal Undang-Undang di Mah Hassan & Associates)
Penulis:
Dato' Haji Mah Hassan bin Haji Omar
Pengerusi
KL Braille Resources
(Pengamal Undang-Undang di Mah Hassan & Associates)
Comments
Post a Comment